...:SATU HATI:...

MY FROFIL

Jumaat, 15 Januari 2010

GERHANA MATAHARI SEPARA


GAMBARAN LINTASAN GERHANA MATAHARI SEPARA

AMARAN: Jangan lihat gerhana matahari dengan mata kasarSELEPAS kali terakhir fenomena gerhana matahari berlaku pada 26 Januari 2009 dan disusuli gerhana bulan pada malam tahun baru lalu, kali ini penduduk Malaysia bakal melihat pula bagaimana kekuasaan Allah SWT menerusi kejadian gerhana matahari separa pada Jumaat ini(15 JAN 2010 di Malaysia).

Gerhana matahari terbahagi kepada tiga jenis iaitu gerhana penuh, gerhana separa dan gerhana anulus. Gerhana penuh berlaku apabila matahari diliputi sepenuhnya oleh bulan akibat kedudukan bulan yang berada dekat dengan bumi dalam orbit bujurnya. Gerhana separa pula merujuk kedudukan bulan yang hanya menutup sebahagian matahari.

Gerhana analus pula berlaku apabila bulan hanya menutup sebahagian matahari dan cahaya matahari selebihnya membentuk cincin bercahaya di sekeliling bayangan bulan yang dikenali 'corona.' Gerhana matahari anulus akan kelihatan dengan lintasan selebar 300 kilometer merentasi Afrika Tengah, Lautan Hindi dan Asia Timur. Fenomena ini terjadi apabila bulan merentas di hadapan matahari, namun tidak menutup matahari sepenuhnya kerana saiz ketara bulan adalah lebih kecil daripada saiz matahari. Oleh itu, matahari kelihatan seperti gelungan cincin yang terang atau Anulus di sekeliling luar cakera bulan.

Lintasan bayang umbra bulan (bahagian bayang yang amat gelap) bermula di Afrika dan melalui Chad, Republik Afrika Tengah, Republik Demokratik Congo, Uganda, Kenya dan Somalia. Manakala selepas melepasi Afrika, lintasan itu melalui Lautan Hindi yang mana tempoh maksimum anulus mencapai sehingga kira-kira 11 minit 8 saat. Lintasan itu kemudian melintasi Asia melalui Bangladesh, India Myanmar dan China. Fenomena ini pernah berlaku pada 26 Januari 2009, sewaktu Tahun Baru Cina.

Gerhana matahari separa pula akan kelihatan dalam lingkungan bayangan penumbra bulan (bahagian luar bayang yang relatifnya lebih cerah)


yang lebih luas meliputi Eropah Timur, Afrika dan Asia.

Pegawai Penyelidik Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Lau Chen Chen, berkata di Malaysia, fenomena ini paling jelas disaksikan penduduk di utara Semenanjung dan Langkawi, menjadi lokasi strategik dengan liputan maksimum di Malaysia sebanyak 40 peratus dan bahagian pantainya yang menghala ke arah barat begitu sesuai dengan 'sentuhan terakhir' ketika matahari terbenam.

"Matahari terlindung oleh bulan sehingga mencapai kegelapan maksimum kira-kira 40 peratus di bahagian utara Semenanjung Malaysia pada waktu petang. Peratus matahari dilindungi oleh bulan semakin mengurang ke bahagian tengah Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. "Sehubungan itu, rakyat negara ini akan berpeluang menyaksikan gerhana matahari separa mulai jam 3 petang hingga 5.45 petang pada Jumaat ini," katanya.

Lau berkata, secara amnya, gerhana matahari akan berlaku ketika fasa bulan baru yang berlaku serentak dan selari dengan bulan melintasi laluannya di antara matahari dan bumi. Ini menyebabkan matahari tertutup sebahagian atau secara keseluruhannya.

Oleh itu, katanya, gerhana matahari separa yang berlaku kira-kira jam 3 petang bakal kelihatan apabila bulan mula menyentuh cakera matahari.

"Keadaan ini dikenali 'sentuhan pertama' iaitu permulaan fenomena gerhana matahari separa berkenaan. Bagaimanapun, kebanyakan pemerhati tidak berupaya mengesan 'sentuhan pertama' gerhana pada masa ini disebabkan cahaya matahari yang terlalu terang," katanya.

Tambah Lau, gerhana hanya akan dapat dilihat apabila bulan menutupi matahari secara perlahan dan membentuk sabit tua (gerhana matahari separa) sehingga liputan maksimum dicapai kira-kira jam 4.25 petang. Sentuhan akhir iaitu pada kira-kira jam 5.40 petang, bayangan bulan mula hilang secara beransur-ansur.

Lau turut mengingatkan, fenomena itu tidak dapat dilihat terus menerusi mata kasar kerana boleh memudaratkan dan membutakan mata manusia.

"Untuk melihat gerhana matahari secara selamat, Angkasa mencadangkan beberapa cara seperti penggunaan Projektor Pinhole dengan kotak panjang, Projektor Pinhole dengan kadbod, solarscope, kaca mata khas gerhana matahari dan teleskop dengan penapis matahari," katanya.

Selain Gerhana Matahari Separa pada 15 Januari, satu lagi fenomena gerhana akan datang ialah Gerhana Bulan Penuh di Sabah dan Sarawak pada 21 Disember 2010.

INFO: Program Cerap Gerhana

Angkasa akan mengadakan program pencerapan gerhana matahari separa mulai jam 2.30 hingga 6 petang di Planetarium Negara Kuala Lumpur, Jumaat ini. Bagi yang tidak berkesempatan, boleh layari www.angkasa.gov.my untuk menyaksikan siaran langsung mulai 3 hingga 5.40 petang pada tarikh sama.

Program pencerapan itu turut diadakan di tempat letak kereta, Kompleks Pekan Rabu, Langkawi di Kedah, pada jam 3 hingga 6 petang pada tarikh sama.

SOLAT GERHANA MATAHARI

SOLAT GERHANA

Hukum Solat Gerhana
Ulama telah bersepakat tentang hukum sunat muakkad bagi melaksanakan solat sunat gerhana. Hukum sunatnya adalah sama dengan hukum solat dua hari raya. Solat sunat gerhana pula hanya dilakukan di tempat berlakunya gerhana. Jika saudara kita di satu tempat seperti Afrika Utara mengetahui ramalan akan berlakunya gerhana matahari separuh pada 29 Safar 1428, tetapi gerhana tersebut tidak berlaku d Malaysia, maka umat Islam di Malaysia tidak disunatkan untuk melakukan solat gerhana.
Dalil Pensyariatan
Hukum solat sunat gerhana adalah berdasarkan dalil dari

(1) Surah Fussilat, ayat 37,

لاَ تَسْجُدُواْ لِلشَّمْسِ وَلاَ لِلْقَمَرِ وَٱسْجُدُواْ لِلَّهِ ٱلَّذِي خَلَقَهُنَّ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Maksudnya “Janganlah kamu sujud kepada matahari dan jangan pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah”.

(2) Hadis riwayat Imam Muslim yang maksudnya;
“Sesungguhnya kedua-dua matahari dan bulan adalah daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, tidak berlaku gerhana kerana kematian atau kerana hidupnya seseorang, apabila kalian menyaksikan fenomena gerhana tersebut maka solatlah dan berdoalah”
Menurut Imam Ibrahim al-Baijuri, antara hikmah berlakunya fenomena gerhana ialah sebagai peringatan kepada golongan penyembah matahari dan bulan bahawa kedua-dua matahari dan bulan adalah makhluk yang tunduk dan patuh pada kekuasaan Allah. Jika kedua-duanya adalah tuhan sebagaimana dakwaan mereka, nescaya akan menjaga dirinya daripada kekurangan, lalu mengapakah cahayanya boleh hilang seketika?
Perbezaan Antara Gerhana Bulan dan Gerhana Matahari

Gerhana Bulan Gerhana Matahari
1.Biasanya berlaku pada pertengahan bulan hijri.
Biasanya berlaku pada akhir bulan hijri.
2.Berlaku pada waktu malam.
Berlaku pada waktu siang.
3.Disunatkan membaca al-Fatihah dan surah secara kuat (jahar).
Disunatkan membaca al-Fatihah dan surah secara perlahan (khafiyy).


Tatacara Sebelum Melaksanakan Solat Sunat Gerhana
Sunat mandi terlebih dahulu.
2. Tidak disunatkan memotong kuku atau bercukur kerana waktu yang sempit.
Sunat juga memakai pakaian yang biasa (pakaian harian), bukan pakaian yang cantik-cantik seperti solat sunat istisqa’ (minta hujan).
Waktu Disunatkan Solat Sunat Gerhana
Waktunya bermula ketika berlakunya gerhana dan berakhir dengan hilangnya gerhana tersebut dan keadaan menjadi seperti sedia kala. Begitu juga tidak diharuskan menambah ruku’ menjadi tiga bagi satu rakaat sekalipun gerhana berlaku panjang, atau memendekkan ruku’ menjadi satu bagi satu rakaat sekalipun gerhana sudah berlalu. Jika gerhana berlalu dan hilang sedang kita masih dalam keadaan bersolat maka dikira sah. Jika gerhana berlaku pada waktu yang ditegah padanya kita bersembahyang, maka dengan sebab gerhana kita disunatkan bersembahyang dan makruh pula meninggalkannya jika kita melihat fenomena gerhana. Ini adalah pendapat di sisi mazhab kita.
Beberapa Peringatan
Tidak perlu azan dan iqamah untuk memanggil jemaah menunaikan solat gerhana tetapi cukup dengan sekadar ucapan : ( الصِّلاَةُ جَامِعَةً )
Sunat menyaringkan suara pada bacaan Fatihah dan surah ketika solat sunat gerhana bulan. Bagi solat sunat gerhana matahari pula disunatkan memperlahankan suara pada bacaan Fatihah dan surah.
Disunatkan mandi untuk solat gerhana, seperti hendak solat Jumaat.
Sunat menyampaikan khutbah (dua khutbah seperti khutbah Jumaat) selepas solat sunat gerhana walaupun gerhana sudah hilang.
Sunat menyampaikan khutbah (seperti khutbah hari raya tetapi tidak disunatkan bertakbir 9 atau 7 kali berturutan pada mukaddimah khutbah).
Isi khutbah hendaklah menyuruh para jemaah agar bertaubat daripada maksiat, bersedekah, berbuat kebajikan, banyak berdoa, beristighfar dan berzikir, memerdekakan hamba, berpuasa, mengingatkan manusia supaya tidak lalai, jangan leka dengan dunia dan sebagainya.
Jika dilakukan berseorangan atau jemaah hanya daripada kalangan wanita, maka tidak perlu khutbah (tetapi harus memberi tazkirah kepada jemaah wanita).

PANDUAN RINGKAS SOLAT GERHANA & KHUTBAHNYA

Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Bulan
أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى
Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Taala.”

Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Matahari
أُصَلِّى سُنَّةَ الْكُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى
Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Taala.”

Cara & Bilangan Rakaat
Terdapat 3 cara melaksanakan solat sunat gerhana iaitu;
Yang terlebih sempurna ialah dilakukan 2 rakaat dengan setiap rakaat 2 ruku’ dan 2 qiyam yang dipanjangkan bacaan surah dan tasbihnya pada kedua-dua rakaat (Kesimpulannya: jumlah ruku’, qiyam dan sujud adalah sebanyak 4 kali dalam dua rakaat solat sunat gerhana). Ini adalah cara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. bersama para sahabatnya dan melibatkan masa yang amat panjang. Kadar panjang bacaan surah ialah surah al-Baqarah (286 ayat) dalam qiyam pertama, sirah Aali Imran (200 ayat) dalam qiyam kedua, surah al-Nisa’ (176 ayat) dalam qiyam ketiga, dan surah al-Ma’idah (120 ayat) dalam qiyam keempat). Kadar panjang tasbih ialah sekadar bacaan 100 ayat dalam ruku’ dan sujud pertama, sekadar bacaan 90 ayat dalam ruku’ dan sujud kedua, sekadar bacaan 70 ayat dalam ruku’ dan sujud ketiga, dan sekadar bacaan 50 ayat dalam ruku’ dan sujud keempat.
Yang lebih sempurna dilakukan 2 rakaat dengan 2 kali ruku’ dan 2 kali qiyam, dengan tidak dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat. Ini adalah cara yang sederhana dan tidak memakan masa yang lama.
Sekurang-kurangnya 2 rakaat seperti solat sunat biasa. Ini adalah cara dan bilangan rakaat yang paling minimum dan melibatkan tempoh yang singkat.

Huraian Cara Kedua (Sederhana Panjang)
Berikut adalah huraian cara solat gerhana dalam tempoh yang sederhana iaitu sekitar 30-40 minit berdasarkan pengalaman menunaikan solat gerhana bulan pada hari Selasa 15 Syaaban 1428 bersamaan 28 Ogos 2007 lalu. Turut dicadangkan bacaan surah-surah pilihan daripada juzuk ke-30 yang lebih dikenali di kalangan masyarakat kita dengan ’ayat-ayat lazim’.

(Rakaat Pertama)
1. Takbiratul Ihram.
2. Membaca doa iftitah.
3. Membaca Isti’azah. (أَعُوْذُ بِالله مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ)
4. Membaca surah al-Fatihah.
5. Membaca surah dalam qiyam pertama. Dicadangkan membaca surah surah al-Baqarah (ayat 1-25) atau surah al-A’laa (19 ayat).
6. Ruku’ (pertama) dan membaca tasbih (100 kali tasbih).
7. Iktidal dan qiyam kedua, membaca surah al-Fatihah dan surah. Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 26-48) atau surah al-Ghaasyiyah (26 ayat).
8. Ruku’ (kedua) dengan membaca tasbih (90 kali tasbih).
9. Iktidal.
10. Sujud (pertama) dan membaca tasbih (100 kali tasbih).
11. Duduk antara 2 sujud (sunat dipanjangkan tempohnya).
12. Sujud (kedua) dan membaca tasbih (90 kali tasbih).
13. Berdiri ke rakaat kedua.

(Rakaat Kedua)
1. Qiyam ketiga dan membaca surah al-Fatihah.
2. Membaca surah. Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 49-61) atau surah al-Syams (15 ayat).
3. Ruku’ (ketiga) dan membaca tasbih (70 kali tasbih).
4. Iktidal dan qiyam keempat, membaca surah al-Fatihah dan membaca surah. Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 62-74) atau surah al-Zalzalah (8 ayat).
5. Ruku’ (keempat) dengan membaca tasbih (50 kali tasbih).
6. Iktidal.
7. Sujud (ketiga) dan membaca tasbih (70 kali tasbih).
8. Duduk antara 2 sujud (sunat dipanjangkan tempohnya).
9. Sujud (keempat) dan membaca tasbih (50 kali tasbih).
10. Membaca tasyahhud akhir.
11. Memberi salam & imam bangun menyampaikan dua khutbah.